Ketika pasaran menantikan keputusan pilihan raya Georgia, para pelabur diperlihatkan dengan kejatuhan dolar Amerika ke paras terendah terbaru sejak April 2018 pada 89.34 pada pembukaan dagangan sesi Asia hari ini.
Matawang gergasi itu sebelum ini susut ketara susulan tindakan China yang meningkatkan kadar pertukaran matawang yuan dengan margin tertinggi sejak tahun 2005, di mana ia tidak lagi bersandarkan pada US dolar.
Ini diburukkan lagi dengan jangkaan bahawa Demokrat akan menguasi Senat Amerika Syarikat menerusi pilihan raya Georgia yang sedang berlangsung. Setakat ini, Demokrat dilaporkan mendahului undian.
Bagaimanapun, ketidakpastian mengenai keputusan pilihan raya membuatkan para pelabur berwaspada dalam meletakkan posisi dan ini mendorong dolar greenback untuk kembali didagangkan positif.
Matawang euro kembali mengurangkan keuntungannya selepas melonjak ke tahap tertinggi terbaru 2 setengah tahun susulan kemerosotan US dolar pada awal sesi dagangan Asia.
Sekiranya parti Demokrat menang, ia akan meningkatkan lagi sokongan Presiden Joe Biden daripada Senat dan jangkaan rangsangan yang lebih besar oleh pimpinan baru itu. Ini sekali gus akan mendorong kelemahan buat US dolar.
Selain itu, penerbitan laporan minit mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi Khamis akan menjadi tumpuan utama pasaran untuk meneliti penjelasan lanjut mengenai dasar polisi Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat terakhir 2020.