Seperti yang sedia maklum bahawa penularan pandemik terutamanya di Zon Eropah semakin membimbangkan dengan kemunculan varian baru iaitu Delta. Atas dasar tersebut, segelintir dalam kalangan pemain pasaran mula sangsi dengan pertumbuhan ekonomi zon Eropah.
Pada hari ini, Suruhanjaya Eropah tampil memberi pencerahan bahawa ekonomi zon Eropah akan berkembang lebih cepat daripada yang diperkirakan sebelumnya pada tahun ini dan berikutnya, walaupun timbul kebimbangan terhadap varian Covid-19 Delta.
Bahagian eksekutif Kesatuan Eropah juga menjangkakan inflasi yang lebih tinggi pada tahun ini daripada yang diperkirakan sebelumnya, namun anggaran kenaikan harga pengguna dijangka akan perlahan pada tahun hadapan.
Suruhanjaya EU meramalkan zon Eropah akan bertumbuh sebanyak 4.8% pada tahun ini, jauh lebih pantas daripada pengembangan 4.3% yang diramalkannya pada bulan Mei. Perubahan ini adalah berikutan pembukaan semula ekonomi nasional pada suku kedua yang telah menguntungkan sektor perkhidmatan.
Dalam masa yang sama, pengedaran vaksinasi dijangka akan lebih pantas dan secara tidak langsung dapat mengurangkan penularan pandemik dan mengekang varian Delta. Menurut pakar ekonomi, EU Paolo Gentiloni, penularan varian Delta adalah peringatan jelas bahawa kita masih belum keluar dari bayangan Covid-19.
Walaubagaimanapun, beliau tetap optimis bahawa ekonomi Eropah akan catat pertumbuhan yang lebih pantas. Untuk hari ke depan, pengedaran vaksin akan terus dipergiatkan, dimana setakat ini lebih dari 62% populasi orang dewasa di EU telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 45% diberi vaksin sepenuhnya.
Inflasi, yang menjadi salah satu keprihatinan utama para ahli ekonomi ketika pertumbuhan ekonomi global meningkat, ia dijangka mencapai 1.9% pada tahun ini yang disebabkan oleh “faktor sementara”, meningkat dari 1.7% yang dianggarkan sebelum ini.