Permulaan dagangan awal minggu turut menyaksikan harga minyak mencatat lonjakan lebih tinggi selepas Presiden Rusia Vladimir Putin meletakkan pasukan nuklear negaranya dalam keadaan berjaga-jaga.
Hal ini sebagai reaksi kepada tindakan campur tangan oleh negara-negara Barat yang mengenakan sekatan ekonomi ke atasnya.
Niaga hadapan minyak mentah Brent kembali melonjak menghampiri puncak tertinggi 7 tahun pada $103 setong setelah mencatat peningkatan sekitar 6.5% ketika dagangan dibuka pada awal sesi.
Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula meningkat lebih 6% untuk didagangkan pada $97 setong pada sesi Asia.
Amaran yang dikeluarkan oleh Putin telah menimbulkan kebimbangan bahawa ia akan menjejaskan bekalan minyak dari pengeluar kedua terbesar di dunia itu. Untuk pengetahuan umum, Rusia menyumbang kira-kira 10% daripada bekalan minyak global.
Ketegangan yang semakin memuncak itu berlaku beberapa hari sebelum mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya termasuk Rusia, OPEC+ diadakan pada 2 Mac.
OPEC+ dijangka akan kekal dengan rancangan semasa dengan tambahan sebanyak 400,000 tong sehari untuk pengeluaran bulan April.