Bank Pusat China (PBOC) tanpa dijangka telah mengekalkan kadar faedahnya walaupun terdapat jangkaan untuk lebih banyak rangsangan dilaksanakan ketika negara bergelut dengan lonjakan Covid-19.
Dalam langkah yang mengejut itu, BOC membiarkan kadar pinjaman jangka sederhana satu tahunnya tidak berubah pada 2.85%.
Ekonomi kedua terbesar di dunia itu kini berdepan dengan gelombang Covid-19 yang paling teruk sejak permulaan wabak itu pada akhir 2019, berikutan penutupan bandar-bandar utama seperti Shanghai.
Sekatan besar-besaran ini mencetuskan jangkaan bahawa pertumbuhan ekonominya akan jatuh ke bawah sasaran kerajaan sebanyak 5.5% untuk tahun ini, mendorong beberapa ahli ekonomi dan penganalisis menjangkakan penurunan kadar faedah.
Perdana Menteri Li Keqiang pada minggu lalu mengatakan bahawa China akan meningkatkan langkah rangsangan untuk menyokong ekonomi, di samping turut memberi amaran bahawa penutupan Covid-19 dapat menimbulkan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi negara itu.
Sementara itu, bank pusat juga tidak mengeluarkan lebih banyak wang tunai ke dalam sistem kewangan, sebaliknya memilih untuk melancarkan 150 bilion yuan ($23.5 bilion) pinjaman yang matang dalam kemudahan pinjaman jangka sederhana.
Mata wang yuan didagangkan stabil susulan keputusan tersebut dengan diperdagangkan di sekitar harga 6.40 berbanding US dolar pada sesi Asia.