Emas bangkit daripada paras terendah hampir satu tahun dengan melonjak lebih tinggi susulan penyusutan US dolar dan hasil bon AS 10 tahun.
Pada sesi Asia, logam kuning itu diniagakan lebih tinggi 1% pada $1,715 per auns, bangkit dari paras harga $1,680 per auns yang disentuhnya pada Khamis.
US dolar berada di bawah tekanan jualan apabila pelabur terus mengurangkan jangkaan mereka untuk langkah kenaikan 100 mata asas secara besar-besaran oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat polisi minggu depan.
Sementara Bank Pusat Eropah (ECB) yang hawkish pula mendorong lonjakan euro dan mengheret indeks dolar ke paras terendah dua minggu.
Penganalisis beranggapan bahawa situasi ini dilihat sebagai faktor utama yang mendorong sokongan sementara untuk emas dalam denominasi dolar.
Menyokong pengukuhan harga emas, adalah hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang turut merosot ketara kepada 2.90% dari puncak tertinggi harian 3.08%.
Namun secara keseluruhannya, emas telah merosot lebih $380 sejak awal Mac kerana kenaikan US dolar baru-baru ini menambah tekanan daripada kenaikan kadar faedah yang agresif.