Data baharu pada Khamis dijangka menunjukkan kadar inflasi Amerika Syarikat masih pada paras tertinggi, tetapi penggubal dasar Federal Reserve (Fed) menaruh harapan bahawa kemuncaknya mungkin semakin hampir.
Presiden Fed Atlanta, Raphael Bostic mengatakan bahawa terdapat beberapa bukti bahawa inflasi berada di puncak dan mungkin mula berkurangan menjelang pertengahan tahun ini.
Selain itu dalam ulasan berasingan, Presiden Fed Cleveland, Loretta Mester juga menjangkakan inflasi akan berkurangan pada tahun ini apabila Fed terus menjalankan pengetatan.
Indeks harga pengguna (CPI) utama dijangka meningkat 7.3% pada Januari secara tahunan daripada 7.0% sebelumnya yang telah mengejutkan pasaran sehingga mendorong Fed untuk mempercepatkan rancangan pengetatannya.
Namun, kadar perubahan bulan ke bulan semakin berkurangan, menjadi petanda ekonomi mungkin telah menyesuaikan diri dengan rantaian bekalan dan masalah lain yang ditimbulkan oleh Covid-19.
Pada mesyuarat polisi FOMC baru-baru ini, Fed telah memberi isyarat untuk mula menaikkan kadar faedah pada bulan Mac. Tetapi tidak ada kejelasan tentang berapa banyak yang perlu dilakukan oleh Fed untuk mengatasi inflasi.