Harga emas kekal berlegar pada sekitar harga yang sama di tengah-tengah kewaspadaan pelabur menjelang mesyuarat polisi FOMC.
Logam kuning itu pada mulanya meningkat lebih tinggi pada awal sesi Eropah mencapai harga $1,735 per auns, tetapi susut semula untuk kembali didagangkan pada $1,725 per auns ketika sesi Asia hari ini.
Emas bergerak seiring dengan pasaran mata wang lain yang turut menunjukkan pergerakan mendatar menuju acara utama tumpuan pelabur iaitu mesyuarat FOMC.
Setelah diperlihatkan dengan data inflasi yang terus meninggi pada bulan Jun, pelabur meletakkan jangkaan untuk kenaikan 75 mata asas oleh Federal Reserve (Fed).
Dalam pada itu, pelabur turut menfokuskan perhatian kepada penerbitan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada Khamis.
Laporan ini akan memberi petunjuk jelas kepada penganalisis sama ada ekonomi sedang menuju ke arah kemelesetan atau tidak.
Pada masa ini, penilaian menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup pada suku kedua berturut-turut yang merupakan indikasi kepada kemelesetan.