Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa kerajaan supaya memberi subsidi kepada makanan dan tenaga untuk isi rumah termiskin.
Ketika temu bual bersama BBC, Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva berkata sokongan harus diberikan dalam cara yang disasarkan, sebaik-baiknya dengan memberikan subsidi terus kepada orang ramai memandangkan kebimbangan kemelesetan global semakin meningkat.
Beliau menambah walaupun banyak kerajaan telah menyediakan bantuan melalui pelbagai skim tetapi ia mungkin tidak mencukupi.
Gorgieva percaya terdapat dua keutamaan apabila melibatkan krisis kos sara hidup iaitu pertama, golongan yang sangat miskin, sebahagian masyarakat yang kini bergelut dengan peningkatan harga makanan dan tenaga.
Sementara yang kedua adalah untuk menyokong perniagaan yang telah terjejas teruk akibat perang di Ukraine.
Tambah beliau, peranan IMF adalah untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menstabilkan ekonomi global dan meningkatkan kemakmuran. Namun, ia terbukti mencabar berikutan lonjakan harga makanan dan tenaga yang mendadak pada tahun ini.
Sebagai contoh, kenaikan harga makanan di Malaysia kini semakin dirasai oleh pengguna dan ia dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang berikutan peningkatan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan dan kejatuhan nilai ringgit.