Kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi terus mengehadkan pergerakan mata wang dalam pasasaran menuju penghujung minggu.
Data terbaharu menunjukkan sektor pembuatan di Amerika Syarikat merosot ke paras terendah dua tahun, manakala aktiviti perkhidmatan pula paling lemah lima bulan pada Jun.
Kelembapan ini turut dapat disaksikan dalam pertumbuhan pembuatan di Zon Eropah yang jatuh ke paras terendah dua tahun dengan Jerman dan Perancis paling terjejas teruk, yang menandakan ekonomi Eropah bergelut untuk mencatatkan pemulihan.
Hal ini sekali gus meranapkan harapan pelabur untuk melihat Bank Pusat Eropah (ECB) untuk bertindak lebih keras dalam mengetatkan dasar monetarinya.
Ini menyebabkan pergerakan mata wang euro terus terbatas di sekitar paras terendah satu bulan berbanding dolar greenback menjelang dagangan hujung minggu.
Sementara dagangan US dolar juga terhad dengan berlegar pada sekitar harga yang sama, dikekang oleh pandangan suram terhadap risiko kemelesetan akibat langkah agresif Federal Reserve (Fed) menaikkan kadar faedah.
Pound juga kekal mendatar setelah diperlihatkan dengan data PMI pembuatan dan perkhidmatan UK yang bercampur-campur pada Jun dan tidak banyak berubah daripada bacaan sebelumnya.
Tumpuan pasaran kini dialihkan kepada terbitan data jualan runcit UK pada sesi Eropah yang dijangka akan menunjukkan penguncupan pada bulan Mei.