Permulaan pasaran sesi Asia menyaksikan raja mata wang US dolar kembali didagangkan stabil setelah menyusut rendah pada dagangan akhir minggu.
US dolar sudah berada di bawah tekanan berikutan jangkaan pelabur yang dikurangkan untuk kenaikan lebih besar dalam kadar faedah Federal Reserve (Fed) setelah menyaksikan inflasi Amerika Syarikat yang terus melambung tinggi pada bulan Jun.
Menjadi tumpuan pelabur pada minggu ini adalah mesyuarat polisi FOMC yang dijangkakan bakal menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas. Namun, terdapat juga sedikit jangkaan untuk peluang kenaikan 100 mata asas oleh pelabur.
Krisis tenaga terus membataskan keuntungan mata wang euro, apatah lagi bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan terbaharu menunjukkan kesan sekatan ke atas Rusia kekal memberi impak ke atas aktiviti ekonomi Eropah.
Kedua-dua sektor menunjukkan penguncupan pada bulan Jun, di mana masing-masing dipengaruhi oleh kemerosotan dalam output dan pesanan baharu buat kali pertama sejak penutupan Covid-19 pada awal 2021.
Perincian yang membimbangkan ialah penurunan paling ketara dalam aktiviti perniagaan di ekonomi utama Eropah, Jerman dengan bacaan komposit jatuh ke tahap paling lemah sejak Jun 2020.
Mata wang pound turut merosot walaupun pasaran melihatkan peluang tinggi untuk Bank of England (BOE) menaikkan kadar sebanyak 50 mata asas pada minggu depan.
Beralih kepada mata wang Asia, dolar Aussie diniagakan sedikit rendah dengan tumpuan pelabur kini terarah kepada data inflasi Australia pada hari Rabu.