‘Nohh rokiah, ada musuh dalam selimut jual rahsia syarikat.’
Seorang pemberi maklumat (whistle-blower) memfailkan aduan bahawa Twitter Inc memberi maklumat ‘tidak telus’ kepada pengawal selia persekutuan berkenaan akaun spam pada aplikasi milik syarikat.
Difahamkan bekas Ketua Pegawai Sekuriti Peiter Zatko, juga merupakan bekas penggodam (hacker) terkenal bernama ‘Mudge’, mendakwa Twitter menggubah pelan keselamatannya dalam dokumen yang diberikan kepada mahkamah.
Hujah Zatko, Twitter memaklumkan dalam dokumen tersebut bahawa mereka mengutamakan pertumbuhan pengguna berbanding mengurangkan akaun spam.
Selain itu, eksekutif syarikat juga dikatakan layak memperolehi bonus individu sebanyak $10 juta yang terikat dengan peningkatan dalam pengguna harian.
Ijmalnya, Twitter langsung tidak menjelaskan sebarang tindakan mengurangkan akaun spam dalam aplikasi ‘burung biru’ menurut Zatko.
Sebagai respon balas, Twitter melabelkan aduan Zatko tersebut sebagai ‘naratif palsu’.
Jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Parag Agrawal, pihaknya akan terus menyemak dakwaan tersebut namum menegaskan tuduhan Zatko adalah satu naratif palsu yang penuh dengan ketidakkonsistenan dan ketidaktepatan.
Umum mengetahui Twitter dan Musk kini terlibat dengan kes saman-menyaman ekoran kegagalan pemerolehan syarikat sebanyak $44 bilion.
Sebagai konteks, Twitter telah meminta hakim Mahkamah Delaware Chancery untuk memaksa Musk meneruskan perjanjian tersebut selepas jutawan itu menamatkan pemerolehan atas alasan masalah akaun spam.
Dalam pada itu, aduan Zatko tersebut telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS), Jabatan Kehakiman serta Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC).