Kebimbangan terhadap kemungkinan meletusnya peperangan antara dua pengeluar utama minyak dunia Rusia dan Ukraine telah mendorong dagangan komoditi hitam untuk meningkat lebih tinggi.
Pada sesi Asia, niaga hadapan WTI Amerika Syarikat didagangkan berlegar pada $94.80 setong selepas menyentuh harga $95 buat pertama kalinya sejak September 2014 pada sesi sebelum ini.
Lonjakan ini dipacu oleh tindakan Presiden Ukraine yang mengisytiharkan 16 Februari sebagai hari perpaduan, di mana pada tarikh tersebut beberapa media Barat menggembar-gemburkan bahawa Rusia akan memulakan serangan.
Sementara itu, penanda aras minyak mentah Brent pula diniagakan mengukuh pada $95.80 setong, sedikit susut dari paras $96.70 yang dicapainya pada sesi terdahulu.
Dalam pada itu, pelabur turut mensasarkan tumpuan pada perbincangan antara Amerika Syarikat dan Iran. Menteri Luar Iran memberitahu bahawa Tehran ingin mendapatkan persetujuan dengan cepat dalam rundingan nuklearnya di Vienna, dengan syarat kepetingan negaranya dilindungi.
Sekiranya kesepakatan dapat dicapai, ia mungkin dapat mengimbangi kebimbangan terhadap kekurangan bekalan minyak mentah global dengan kembalinya pengeluaran daripada Iran ke dalam pasaran.
Sementara itu, ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol menggesa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, OPEC+ untuk memenuhi komitmen pengeluaran mereka sebanyak 400,000 tong sehari.
Menurut laporan bulanan terbaru IEA, terdapat jurang antara sasaran dan output sebenar yang meluas sehingga 900,000 tong sehari pada Januari.