‘Kalau tolak beberapa faktor lain, Microsoft dilihat berkembang dengan baik.’
Microsoft Corp mengunjurkan hasil tahunan fiskal terkini akan berkembang 2 digit rentetan keputusan suku ke-4 (4Q) berakhir 30 Jun yang baik, didorong permintaan terhadap perkhidmatan komputeran awan (cloud computing).
Difahamkan bahawa unjuran tersebut dibuat rentetan daripada peralihan model kerja hibrid dan persediaan pelabur untuk kemelesetan dan tekanan inflasi yang membuat pengguna kurang berbelanja.
Melihat kepada laporan Microsoft, pendapatan 4Q meningkat $51.87 bilion berbanding $46.15 bilion setahun sebelumnya.
Ia sedikit tersasar dari ramalan penganalisis yang secara purata meletakkan nilai $52.44, namun menolak faktor pengukuhan nilai greenback keputusan Microsoft agak memuaskan.
Sementara itu, pendapatan bersih syarikat juga meningkat $16.74 bilion atau $2.23 sesaham berbanding catatan setahun sebelum pada $16.46 bilion atau $2.17 sesaham.
Secara keseluruhan Microsoft mempunyai suku terbaiknnya bagi perniagaan awan (clouding) dengan perkhidmatan Azure mencatat peningkatan tempahan.
Perkhidmatan Azure mencatat pertumbuhan 40% sungguhpun gagal tepati ramalan penganalisis 43%, namun menolak faktor pengukuh nilai mata wang, ia meningkat 46%.
Dalam pada itu, bahagian Intelligent Cloud pula berjaya mengatasi unjuran Wall Street $19.1 bilion dengan catatan pendapatan melonjak 20% pada $20.9 bilion.
Untuk unjuran 1Q yang berakhir 30 September, bahagian Intelligent Cloud diramal membawa pendapatan antara $20.3 bilion hingga $20.6 bilion.
Ulas penganalisis TECHnalysis Research, Bob O’Donnell, Microsoft dilihat terus gah dalam menjalankan perniagaannya di sebalik trend ekonomi yang menyusut.
Tambahnya, kekuatan utama Microsoft dalam perisian dan perkhidmatan pengkomputeran telah menjadi pilihan umum dan mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu peneraju sektor teknologi.
Pada sisi berbeza, kadar penjualan komputer peribadi (PC) dan perbelanjaan pengiklan yang rendah menjadi faktor kegagalan Microsoft mencapai sasaran penganalisis.