Pergerakan US dolar terus mengecewakan pasaran apabila raja mata wang itu menyusut lebih rendah pada sesi Eropah.
Angka yang menyuramkan dalam data pembuatan Amerika Syarikat telah mendorong jangkaan untuk kenaikan kadar faedah agresif Federal Reserve menurun.
Menurut Alat FedWatch CME, kebarangkalian untuk satu lagi peningkatan 75 mata asas oleh Fed pada November menurun kepada 50% susulan data tersebut.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun juga susut lebih rendah menjauhi paras tertinggi 12 tahun kepada 3.57%.
Ini membuatkan US dolar tidak berdaya untuk mengekalkan pengukuhannya dan mengalah berbanding kebanyakan mata wang utama lain.
Mata wang pound terus mengukuhkan kedudukan disokong oleh hasrat kerajaan UK yang terbatal untuk melaksanakan pemotongan cukai selepas mendapat kecaman ramai.
Turut mengekori dari belakang adalah mata wang euro yang meningkat lebih tinggi dengan mendapat dorongan daripada kelemahan USD.
Di sisi lain, dolar Aussie juga memanfaatkan kemerosotan US dolar walaupun selepas Reserve Bank of Australia (RBA) mengejutkan pasaran dengan peningkatan lebih kecil dalam kadar faedah.
RBA menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas berbanding jangkaan 50 mata asas, menjadikan kadar tunai semasa bank pusat itu berada pada 2.60%.
Sementara itu, dolar kiwi turut meningkat menjelang mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand pada hari Rabu.