Mata wang kripto Solana (SOL) merupakan salah satu mangsa yang terjejas disebabkan kejatuhan FTX dan Alameda dengan mengalami penerjunan sebanyak 20% dalam tempoh 24 jam lalu yang kini didagangkan pada zon $15.20.
Difahamkan bahawa SOL mengalami kejatuhan drastik susulan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alameda, Sam Bankman-Fried bertindak menjual sejumlah pegangan aset digital tersebut dan membeli token FTT agar harganya tidak membuat penurunan lagi.
Malah, para pelabur lebih berminat menyokong rantaian BNB berbanding SOL selepas CEO Binance, Changpeng Zhao (CZ) mengumumkan bakal membeli token FTX serta mengawal 10% daripadanya.
Umumnya, Sam Bankman-Fried merupakan penyokong tegar SOL, namun beliau tidak pasti sampai bila sokongannya dapat bertahan ekoran syarikatnya buat masa ini masih berada dalam masalah.
Sementara itu, whales SOL yang telah mencairkan sejumlah besar kripto tersebut turut menjadi penyebab harganya merosot mendadak.
Buktinya, whales dilaporkan mempunyai SOL bernilai lebih $51 juta dalam bentuk cagaran dan 44 juta pula untuk USDC.
Dalam pada itu, para pelabur dikatakan mengalami situasi sama seperti LUNA dan kejatuhan ini berkemungkinan akan mengakibatkan banyak lagi SOL dijual di pasaran terbuka.
Jika pelabur dan institusi semakin gelisah, maka harga SOL akan meneruskan penerjunan yang kini didagangkan pada diskaun hingga 90%.