Penurunan lebih rendah dalam kadar inflasi Amerika Syarikat pada bulan Julai telah mendorong junaman parah raja mata wang US dolar.
Terbaharu, indeks harga pengguna (CPI) meningkat 8.5% tahun ke tahun pada bulan lalu, meleset daripada jangkaan untuk kenaikan 8.7% susulan peningkatan 9.1% yang dicatatkan pada bulan Jun.
Hal ini menunjukkan bahawa langkah kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Federal Reserve (Fed) telah mula memberi kesan kepada tekanan harga.
Bagaimanapun, pelabur masih terikat dengan tindak balas kadar faedah bank pusat walaupun telah mengurangkan jangkaan untuk kenaikan 75 mata asas ketiga berturut-turut pada September.
Sebaliknya, pasaran kini melihat Federal Reserve mungkin akan melaksanakan peningkatan lebih perlahan iaitu sebanyak 50 mata asas.
Ini disokong kenyataan Presiden Fed, Charles Evans yang memberitahu beliau tidak melihat bahawa kenaikan oleh bank pusat itu telah berakhir, sebaliknya menjangkakan kadar dana akan meningkat sehingga 4%.
Beliau juga menjangkakan kadar faedah akan meningkat pada tahun ini dan seterusnya.
Susulan kejatuhan US dolar, kebanyakan mata wang utama lain melonjak lebih tinggi seiring dengan pasaran saham global yang didorong oleh kelegaan pasaran bahawa tekanan harga telah mulai mereda.
Antara mata wang yang berprestasi paling baik adalah dolar Aussie dan kiwi yang melonjak ke paras tertinggi satu bulan.
Peningkatan ini turut diikuti oleh dagangan euro dan pound walaupun kedua-dua mata wang itu kembali mengurangkan sedikit keuntungan pada sesi Asia.