Ketika kempen pilihan raya di Malaysia semakin hangat, Amerika Syarikat turut mengadakan pilihan raya untuk menentukan peneraju Kongres yang seterusnya.
Kongres ialah badan perundangan kerajaan persekutuan AS yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Senat.
Dalam konteks ini, Dewan berperanan memutuskan undang-undang melalui undian manakala Senat pula boleh menyekat atau meluluskannya serta mengesahkan pelantikan yang dibuat oleh presiden.
Pilihan raya ini diadakan setiap dua tahun, dan apabila ia berlaku pada pertengahan penggal empat tahun jawatan presiden, ia dipanggil pertengahan penggal.
Setiap negeri mempunyai dua senator yang menduduki penggal selama enam tahun, jadi setiap dua tahun kira-kira satu pertiga daripada Senat akan dipilih bersama Dewan Rakyat.
Siapa yang akan menang?
Pada ketika ini, Parti Demokrat memegang majoriti di Dewan dan Senat sejak dua tahun lalu yang telah membantu Presiden Joe Biden untuk meluluskan undang-undang beliau mahukan.
Namun, tinjauan semasa mencadangkan Republikan mungkin menguasai Dewan, manakala Demokrat mengekalkan majoriti di Senat.
Apakah kesan yang akan berlaku?
Pertengahan penggal sering berfungsi kepada penilaian terhadap hasil kerja presiden, dan parti yang memegang White House cenderung untuk hilang kerusi.
Inilah yang menjadi kebimbangan Presiden Joe Biden yang rating popularitinya di kalangan pengundi susut bawah 50% sejak Ogos lalu.
Jika Demokrat bertahan, Biden akan dapat meneruskan rancangannya mengenai perubahan iklim, mengembangkan program penjagaan kesihatan, melindungi hak pengguguran dan mengetatkan kawalan senjata.
Bagi pihak Republikan pula, sekiranya ia mengawal mana-mana dewan, parti itu akan dapat menghentikan agenda Biden.
Mungkin secara kasarnya, pembaca tidak dapat melihat apa kepentingan dan impaknya kepada pasaran. Namun, hakikatnya keadaan politik di Amerika Syarikat turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pergerakan pasaran, terutamanya saham.