Rusia memutuskan untuk menjalankan pengujian transaksi mata wang digital (CBDC), ruble digital seawal-awalnya bermula tahun hadapan.
Difahamkan pengujian tersebut turut melibatkan pembayaran antarabangsa.
Berdasarkan laporan daripada Bank Pusat Rusia, pengujian ruble digital telah pun bermula dan mereka bersedia untuk ke tahap seterusnya dengan mengaplikasikan CBDC itu dalam transaksi dunia sebenar.
Tidak mustahil jika jangkaan bank pusat Rusia untuk pelancaran penuh ruble digital pada tahun hadapan akan menjadi kenyataan.
Pun begitu, gabenor bank pusat Rusia, Elvira Nabiullina menjelaskan mereka sedang mengusahakan penerimaan ruble digital yang meluas dengan memastikan beberapa negara yang terlibat turut menggunakan sistem pembayaran MIR, alternatif kepada Visa dan Mastercard.
Sebagai rekod, kedua-dua perkhidmatan pembayaran itu tidak lagi beroperasi untuk Rusia kerana sekatan yang dilaksanakan susulan daripada gangguan keamanan Ukraine sejak Februari.
Bukan itu sahaja, negara-negara Barat dan Kesatuan Eropah (EU) telah bertegas, memastikan tiada entiti yang berurusan dengan Rusia: sekatan bank-bank Rusia daripada sistem permesejan pembayaran antarabangsa, SWIFT; dan sekatan terhadap pelombong Bitcoin (BTC) terbesar dunia, BitRiver.