Rasanya pelabur sudah tidak perlu berteka-teki lagi tentang keputusan yang diambil oleh Bank of Japan (BOJ) pada mesyuarat polisinya yang berlangsung hari ini.
Menepati jangkaan secara meluas, bank pusat itu menetapkan kadar faedah tidak berubah pada -0.10% dan sasaran hasil bon 10 tahun pada sekitar 0%.
Bank pusat itu juga mengekalkan pendekatan dovish dan dasarnya, memberitahu akan sentiasa bersedia untuk meningkatkan rangsangan sekiranya diperlukan.
Meneliti unjuran ekonomi suku tahunannya, BOJ menaikkan ramalan inflasi dengan ketara kepada 2.9% bagi tahun berakhir pada Mac.
Bagaimanapun, ia melihat bahawa pertumbuhan harga akan kembali perlahan kepada 1.6%, jauh di bawah sasaran 2% dalam 12 bulan berikutnya.
Terdahulu, pelabur telah diperlihatkan dengan bacaan data yang menunjukkan inflasi di Tokyo melonjak 3.4% pada bulan Oktober, kenaikan terpantas sejak akhir 1980-an.
Sungguhpun begitu, bank pusat masih menganggap lonjakan tersebut sebagai tidak mampan (hanya sementara).
BOJ terus melawan arus kenaikan kadar faedah oleh bank pusat lain, ketika kerajaan bergelut cuba mempertahankan yen dengan campur tangan dalam pasaran.
Ketika penulisan, yen didagangkan stabil susulan keputusan yang sememangnya telah dijangkakan ini, menyaksikannya didagangkan sekitar harga 146.72 berbanding USD.