Britain tampaknya tidak main-main selepas ia berjanji untuk menghentikan import minyak Rusia sejak pencerobohan ke atas Ukraine.
Buat pertama kali dalam rekod, data rasmi menunjukkan bahawa UK tidak mengimport bahan api dari Rusia pada bulan Jun.
Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) juga melaporkan bahawa import barangan dari Rusia jatuh ketara £33 juta pada Jun, iaitu paras terendah sejak rekod bermula pada Januari 1997.
Hal ini sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan UK berhasil mencapai objektifnya untuk menghapuskan import minyak Rusia secara berperingkat menjelang akhir 2022 dan menamatkan import gas secepat mungkin.
Import bahan api dari Rusia jatuh sebanyak £499 juta atau 100%, berbanding purata untuk 12 bulan sebelumnya hingga Februari.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, UK mengimport kira-kira 4% daripada gasnya dari Rusia, dan 11% daripada minyaknya pada tahun 2021.
ONS berkata UK telah mengimbangi pengurangan tersebut dengan meningkatkan import minyak ditapis dari Arab Saudi, Kuwait, Belanda dan Belgium.