US dolar berundur dari paras tertingginya pada sesi Eropah ketika pasaran kini memberi tumpuan kepada terbitan laporan minit mesyuarat FOMC.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama didagangkan susut pada 103.00.
Susulan pendirian Federal Reserve (Fed) yang dilihat hawkish pada mesyuarat lalu, pasaran akan meneliti lebih lanjut laporan minit yang akan dikeluarkan pada awal pagi nanti (Khamis 2.00 pagi) untuk petunjuk lebih jelas mengenai hala tuju bank pusat.
Penyusutan greenback telah memberi sokongan buat mata wang utama untuk meningkat, terutamanya pound yang turut didukung oleh data inflasi UK.
Indeks harga pengguna (CPI) UK meningkat 6.8% tahun ke tahun pada Julai, turun daripada 7.9% yang direkodkan pada Jun.
Walaupun menurun, tetapi inflasi teras dilihat masih kekal tinggi dengan catatan tidak berubah 6.9% berbanding bulan sebelumnya, yang menandakan bank pusat akan menaikkan sekurang-kurang 25 mata asas dalam kadar faedah.
Sementara itu, euro turut mempamerkan kenaikan namun dalam julat yang kecil dengan harga didagangkan pada sekitar harga 1.0930 berbanding greenback.
Turut menyaksikan peningkatan adalah dagangan dolar Aussie dan New Zealand yang melantun semula daripada paras terlemah sejak November.
Bank pusat New Zealand (RBNZ) menepati jangkaan pasaran untuk mengekalkan kadar faedahnya tidak berubah pada 5.50% ketika mesyuarat polisi yang berlangsung pada sesi Asia.
Dalam pada itu, dolar Kanada sedikit meningkat selepas menyentuh paras terendah terbaru 2 bulan berbanding greenback di tengah-tengah dagangan minyak mentah yang lebih lemah.
Mata wang yen pula terus terperangkap di paras terlemah sejak November berbanding greenback pada sekitar harga 145.50.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.