“Alamak, musnahlah semua pasaran kripto kalau hanya tinggal 1% je.”
Caitlin Long, pengasas Custodia Bank yang merupakan sebuah syarikat perbankan aset digital menegaskan bahawa 99% daripada pasaran mata wang kripto harus dihapuskan jika ingin meningkatkan kemajuan masa depannya.
Memang tidak dinafikan pasaran kripto mempunyai potensi sangat besar, tetapi firma aset digital yang beroperasi menggunakan aktiviti perdagangan berleveraj tinggi telah menghentikannya daripada terus berkembang, ulas Long lagi.
Bukan itu sahaja, Long turut menyamakan pasaran kripto semasa dengan saham teknologi pada tahun 1999, di mana para pelabur daripada syarikat terkemuka di seluruh dunia telah tertarik untuk melabur dalam internet yang sudah mencanak 800%.
Namun, majoriti pelabur dan syarikat telah menghadapi kebankrapan apabila pasaran saham jatuh sebanyak 740% sejurus selepas harga mencapai kemuncaknya.
Situasi tersebut sama seperti kejatuhan pasaran kripto pada tahun 2022 susulan harga Bitcoin (BTC) menjunam sekitar 70% manakala altcoin lain pula didapati menyusut antara 80% dan 90% sehingga menyebabkan banyak firma termasuk pelabur utama muflis.
Oleh demikian, Long berpandangan pasaran kripto sama sekali tidak akan berjaya sekiranya ia terus memperkukuh aktiviti perdagangan melalui leveraj sambil membenarkan bursa aset digital tidak terkawal untuk beroperasi.
Selain menyokong tindakan keras yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) terhadap bursa kripto, Long juga mendedahkan bahawa kekurangan peraturan berkenaan aset digital dapat memburukkan lagi prestasi pasaran kripto.