Emas tenggelam lebih jauh ke paras terendah enam minggu berikutan pengukuhan berterusan dalam dagangan US dolar dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun.
Pada sesi Asia, logam kuning itu bergerak mendatar pada sekitar harga $1,955 per auns, manakala niaga hadapan emas pula didagangkan pada $1,958 per auns.
Menuju penutup dagangan minggu ini, emas berada di landasan untuk kejatuhan mingguan terbesarnya sejak Februari susulan penyusutannya yang berterusan.
Bacaan lebih baik daripada dijangkakan dalam data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat telah memberi sokongan buat US dolar sekali gus menolak jatuh harga emas lebih rendah.
Selain itu, kenyataan hawkish daripada penggubal dasar Federal Reserve (Fed) turut menambah tekanan buat emas.
Terbaru, Presiden Fed Dallas, Lorie Logan berkata bahawa data ekonomi semasa tidak menyokong bank pusat untuk menghentikan kenaikan kadar pada mesyuarat akan datang.
Pelabur kini memberi tumpuan kepada ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell pada sesi New York akan datang yang boleh menawarkan petunjuk baharu mengenai penetapan dasar monetari seterusnya.