Emas kembali menghapuskan kerugian yang dicatatkan daripada kejatuhan sebelum ini, menyaksikannya didagangkan stabil menjelang mesyuarat polisi Federal Reserve (Fed).
Pada awal sesi Asia, dagangan emas sedikit berubah pada sekitar harga $1,927 per auns, manakala niaga hadapan emas pula diniagakan pada $1,942 per auns.
Terdahulu, logam kuning itu dihentam jatuh dalam dua sesi pada Selasa ke paras terendah $1,900 per auns disebabkan peningkatan lebih kukuh dalam dagangan US dolar.
Bagaimanapun, ia kembali memadamkan kerugian tersebut apabila pasaran menuju ke sesi New York dan melantun semula susulan data indeks kos pekerjaan Amerika Syarikat.
Walaupun ia dilihat tidak akan mempengaruhi keputusan Fed, namun ia cukup memberi isyarat terhadap penurunan berterusan dalam tekanan harga di AS.
Tumpuan pelabur kini beralih kepada mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi nanti (3.00 pagi waktu Malaysia).
Sebelum itu, pasaran akan diperlihatkan terlebih dahulu dengan penerbitan data pekerjaan sektor swasta ADP dan pembuatan AS pada awal sesi New York.