Malaysia sekali lagi dalam krisis selepas mahkamah di Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan baharu terhadap dua aset milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Ini susulan langkah waris Kesultanan Sulu untuk mendapatkan tuntutan $15 bilion (RM66 bilion) daripada kerajaan Malaysia seperti mana yang diputuskan mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.
Malaysia yang tidak terlibat dengan timbang tara tersebut, masih berpegang pada pendirian bahawa proses itu tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Untuk pengetahuan, negara pernah mendapat penangguhan untuk tuntutan pertama oleh waris Kesultanan Sulu sebelum ini, yang mahu merampas dua anak syarikat milik Petronas iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.
Namun, ia tidak bermakna negara terselamat kerana keputusan tersebut tetap boleh dikuatkuasakan di 165 negara di bawah perjanjian timbang tara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Petronas dalam kenyataan terbarunya menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah tidak berasas dan akan terus mempertahankan haknya dari segi undang-undang.
Mengimbas kembali sejarah negara, tindakan tersebut berkait rapat dengan isu perundangan yang dikemukakan oleh waris Sulu pada 2017.
Ketika itu, waris Sulu menuntut pampasan terhadap tanah di Sabah yang dikatakan telah dipajak nenek moyangnya kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Kemudian pada Mac, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia perlu membayar waris berkenaan sebanyak $15 bilion.