Penyusutan nilai yen ke paras kritikal sejak November tahun lepas telah mencetuskan kebimbangan pelabur bahawa Jepun akan campur tangan dalam pasaran mata wang seperti tahun lepas.
Ini dilihat pada kemerosotan dalam saham negara matahari terbit itu, menyaksikan purata Saham Nikkei 225 susut 1.4% walaupun yen melemah selama sembilan hari berturut-turut ke sekitar harga 146.45.
Terdahulu pada tahun lepas, campur tangan berlaku oleh pihak berkuasa Jepun apabila mata wang ninja itu menjunam ke paras harga 145.90.
Walaupun ia mungkin tidak serta merta akan mencetuskan tindakan daripada pihak berkuasa, namun pelabur kini dilihat lebih berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.
Penganalisis berkata pelabur kini lebih berhati-hati daripada terperangkap dalam peningkatan mendadak yen. Namun, trend yang lebih luas dalam yen dilihat tidak akan berubah walaupun campur tangan berlaku.
Selain faktor tersebut, saham Jepun turut menghadapi tekanan daripada pasaran saham Amerika Syarikat yang lembap dan masalah ekonomi China yang semakin meruncing.
Dalam pada itu, data terbaru menunjukkan eksport Jepun jatuh pada bulan Julai buat kali pertama dalam tempoh hampir 2 setengah tahun berikutan permintaan yang goyah untuk minyak dan peralatan membuat cip.