Menuju dagangan akhir minggu, harga minyak mentah memaparkan prestasi yang memberangsangkan dengan berada di landasan untuk mencatatkan keuntungan mingguan.
Pada sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan meningkat pada sekitar harga $87 setong setelah meraih keuntungan sekitar 3.5% pada minggu ini.
Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula didagangkan lebih kukuh pada sekitar harga $83 setong susulan kenaikan 4.7% pada minggu ini.
Kedua-dua penanda aras didagangkan pada paras tertinggi tiga minggu.
Antara faktor yang dilihat menyokong pengukuhan ini adalah prospek bekalan minyak yang lebih ketat susulan jangkaan pengurangan pengeluaran mendalam oleh negara-negara pengeluar.
Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak berkata bahawa Moscow telah mencapai perjanjian baharu dengan negara anggota dalam OPEC+ untuk mengurangkan lagi bekalan.
Pengurangan itu mungkin akan menambah sokongan kepada pemotongan bekalan berterusan sedia ada oleh Rusia dan Arab Saudi.
Faktor itu secara tidak langsung membantu pasaran minyak mengimbangi kesan daripada isyarat ekonomi yang lemah dari Amerika Syarikat dan China pada minggu ini.
Bacaan kedua data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS menunjukkan catatan lebih perlahan dengan berkembang 2.1% pada suku kedua daripada 2.4% dalam angka pertama yang dikeluarkan pada Julai.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.