US dolar bergelut mencari sokongan pada awal minggu, melihatkannya didagangkan susut dari paras tertinggi enam bulan yang dicapainya minggu lalu.
Dagangan US dolar dijangka terus perlahan susulan kewaspadaan pelabur menantikan penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada hari Rabu.
Sementara itu, Gabenor Bank of Japan (BOJ), Kazuo Ueda memecah kesunyian pada hujung minggu, memberi petunjuk untuk mula keluar daripada dasar monetarinya yang sangat longgar.
Impaknya, hasil bon kerajaan Jepun 10 tahun (JGB) melonjak ke paras tertinggi 9 tahun dan mata wang yen juga didagangkan lebih kukuh pada pembukaan dagangan hari Isnin.
Dalam pada itu, mata wang euro sedikit pulih dengan didagangkan berlegar pada sekitar harga 1.0700 berbanding greenback dengan pelabur kini menantikan mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) pada hari Khamis.
Mata wang pound turut mencatatkan pemulihan dengan diniagakan pada sekitar harga 1.2500 berbanding US dolar. Data pekerjaan dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) UK akan menjadi tumpuan pelabur minggu ini.
Beralih ke perkembangan mata wang komoditi, dolar Aussie dan New Zealand masing-masing didagangkan lebih kukuh sekali gus membantu kedua-duanya bangkit dari paras terendah tiga bulan berbanding US dolar,
Dagangan dolar Kanada juga lebih kuat, disokong oleh data pekerjaan Kanada yang kukuh pada bulan Ogos serta harga minyak mentah yang kekal stabil pada paras tertinggi sejak November 2022.
Tiada data ekonomi utama yang akan diterbitkan pada sesi New York hari ini, namun pelabur tetap berhati-hati terhadap pergerakan di luar jangka dalam pasaran mata wang.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.