Minit mesyuarat FOMC yang dikeluarkan pada awal pagi tadi menunjukkan para penggubal dasar Federal Reserve (Fed) melihat risiko yang meningkat dalam inflasi.
Hal ini bermakna ia mungkin memerlukan pengetatan lanjut, yang mendorong Fed untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada julat 5.25%-5.50% pada mesyuaratnya bulan lalu.
Fed mengakui bahawa berlaku pengurangan dalam inflasi baru-baru ini, namun menegaskan bahawa angka yang tinggi tetap tidak boleh diterima dan bukti penurunan lanjut diperlukan.
Ini bagi meyakinkan pembuat dasar bahawa inflasi jelas berada di landasan sasaran 2% bank pusat.
Rentetan daripada itu, US dolar terus mengukuhkan kenaikan berbanding pesaing utama selain turut disokong oleh sentimen berisiko berikutan kelemahan ekonomi China.
Pada sesi Asia, indeks dolar yang mengukur prestasi dolar greenback didagangkan tinggi pada 103.56 berbanding enam mata wang utama lain.
Sementara hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula melanjutkan peningkatan ke paras ketinggian baharu sejak Oktober 2022 pada 4.28%.
Mata wang sensitif risiko, dolar Aussie merosot lebih jauh ke paras terendah terbaru 9 bulan berbanding greenback, ditambah pula dengan data pekerjaan Australia yang mengecewakan pada bulan Julai.
Selain itu, pound mencatatkan penurunan yang agak terhad, diimbangi oleh data inflasi UK yang lebih baik daripada jangkaan, manakala euro pula jatuh ke paras terlemah satu bulan.
Turut menyaksikan kejatuhan adalah mata wang yen yang kini didagangkan pada sekitar harga 146.45 ketika pasaran masih mengharapkan campur tangan daripada Bank of Japan (BOJ).
Dolar Kanada juga kecundang lebih jauh ke paras terendah dua bulan, selain turut ditekan oleh junaman dalam dagangan minyak mentah dunia.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.