Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan satu lagi kes positif terbaru cacar monyet (mpox) dikesan di Malaysia.
Pesakit adalah seorang lelaki tempatan dengan gejala demam,batuk dan sakit tekak sejak 11 September lalu, kemudiannya muncul ruam pada hari seterusnya.
Pesakit itu dikesan dengan virus mpox varian Clade II menjadikannya kes kesepuluh sejak kes dikesan bermula 26 Julai tahun lalu, tetapi yang pertama untuk tahun ini.
Varian Clade II mempunyai risiko kadar kematian yang lebih rendah berbanding Clade I yang belum lagi dilaporkan dikesan di Malaysia.
Pesakit tiada sejarah ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum muncul gejala, dan kini dilaporkan dalam keadaan yang stabil dan sedang dikuarantin.
Kontak rapat pesakit juga dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Kementerian memaklumkan bahawa daripada 58 kes mpox disyaki yang dirujuk kepada Kementerian pada tahun ini, hanya satu kes sahaja yang disahkan positif untuk varian Clade II pada 16 September.
9 kes positif sebelum ini adalah dikesan bermula 26 Julai tahun lalu hingga yang terakhir pada November.
Dikatakan kesemua kes yang dilaporkan mempunyai sejarah aktiviti berisiko tinggi dan kesemuanya telah pulih dengan tiada sebarang kematian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos lalu telah mengisytiharkan virus mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam global setelah penularan wabak yang ketara di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jirannya.
KKM dilaporkan sudah aktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan untuk memantau situasi penularan virus mpox ini.