Kenyataan terbaru dari Deutsche Bank membangkitkan harapan pasaran apabila pihak mereka tidak lagi menjangkakan ekonomi A.S akan tergelincir ke dalam kemelesetan tahun ini. Tambahan pula didorong oleh faktor inflasi yang semakin perlahan dan pasaran tenaga kerja kembali ke “keseimbangan yang lebih baik” tanpa pengangguran meningkat secara ketara.
Deutsche Bank sebelumnya menjangkakan ekonomi berpotensi terpalit dalam kancah kemelesetan dengan Federal Reserve mengetatkan kadar faedah untuk mengendalikan inflasi, menyempitkan ruang untuk pendaratan lembut.
Deutsche Bank berkata dalam catatan pada Isnin bahawa kini ia menjangkakan ekonomi AS akan tumbuh sebanyak 1.9% tahun ini, berdasarkan purata suku tahunan, berbanding ramalan sebelumnya sebanyak 0.3%.
“Walaupun ekonomi masih berhadapan beberapa halangan khususnya, keadaan kredit yang masih ketat, kadar tunggakan pengguna yang meningkat, dan pasaran tenaga kerja yang perlahan dengan ketahanan sejauh ini menunjukkan perlambatan yang lebih baik pada tahun 2024 berbanding apa yang kami jangkakan sebelumnya,” kata Matthew Luzzetti, pakar ekonomi Amerika Syarikat utama Deutsche Bank.
Waima begitu Deutsche Bank masih menjangkakan the Fed akan mula mengurangkan kadar faedah mulai bulan Jun, tetapi kini mengharapkan 100 mata asas (bps) penurunan kadar faedah pada tahun ini, kurang daripada jangkaan sebelumnya sebanyak 175 bps.
Ekonomi AS tumbuh sebanyak 3.3% dalam suku keempat, lebih cepat daripada yang dijangkakan, di tengah belanja pengguna yang kukuh, dengan pertumbuhan untuk tahun penuh sebanyak 2.5%, menolak ramalan buruk tentang kemelesetan selepas kenaikan kadar agresif Fed.