Kenapa mata wang Pound menjunam pada pembukaan dagangan awal sesi Eropah hari ini?
Ini adalah disebabkan oleh reaksi pasaran terhadap kenyataan yang dikemukakan oleh Gabenor Bank of England (BOE) Andrew Bailey dalam satu acara temubual.
Situasi konflik perang di Timur Tengah yang sedang memuncak pada ketika ini turut menjadi tumpuan buat bank pusat itu yang dilihat boleh mengganggu kestabilan harga minyak mentah global.
Menurut Bailey, beliau memantau perkembangan isu itu dengan rapat dan mengatakan bahawa tindakan mereka adalah terhad dalam usaha untuk mengekang kenaikan harga minyak mentah jika situasi menjadi semakin buruk.
Harga minyak Brent UKyang sebelum ini susut ke paras $70.00 setong telah melonjak hingga paras $76.00 semalam didorong kebimbangan terhadap perang Iran-Israel yang tercetus.
Namun, harga jatuh sedikit pada sesi New York semalam ke paras sekitar $73.50 sebelum beransur pulih hari ini.
Dalam temubual bersama media UK Guardian, Gabenor Bailey mendedahkan tentang prospek bank pusat untuk lebih agresif dalam langkah pemotongan kadar faedah mengiringi perkembangan inflasi di negara itu.
Petunjuk ‘dovish’ yang disampaikan itu telah memberi kesan langsung penyusutan nilai Pound di awal sesi Eropah hari ini.
Pada carta pasangan mata wang GBP/USD, harga susut lebih rendah di bawah 1.32000 sementara carta GBP/JPY pula, harga turun di bawah paras 193.500.