Pengukuhan semula US dolar selepas disokong lonjakan pada bacaan inflasi pengeluar Amerika Syarikat (AS) yang terbaru semalam turut memberi kesan terhadap dagangan emas.
Bacaan indeks harga pengeluar (PPI) untuk Julai catat 0.9%, peningkatan terbesar dalam tempoh 3 tahun memberi isyarat kesan tarif global bakal disalurkan kepada pengguna.
Jika diteliti carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, cubaan kenaikan lemah harga pada Rabu tidak berjaya diteruskan sebelum harga ditekan jatuh semula.
Harga emas susut sedikit untuk kembali menyentuh semula paras penting 3330.00 yang menjadi penentu penting buat pelabur.
Harga yang juga bergerak di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta tersebut mencadangkan pergerakan lebih rendah untuk berlaku.
Jika emas semakin hilang tarikan, harga boleh susut lagi menuju paras tumpuan 3300.00 yang dijangka akan mengundang reaksi menarik.
Selanjutnya, harga bakal menguji zon sokongan yang telah dicecah pada penghujung Julai lalu sekitar 3270.00.
Namun jika harga berjaya melonjak kukuh pada sesi-sesi akhir minggu ini, sasaran adalah untuk mencapai semula ketinggian pada paras pembukaan di awal minggu sekitar 3400.00.
Seterusnya, berjaya meneruskan pendakian lebih tinggi, harga akan catatkan ketinggian baharu dengan mensasarkan pada rekod ATH 3500.00 semula.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.