Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Laporan PCE Teras, Indeks Harga Pengguna Peribadi yang menjadi ukuran inflasi Fed akan dikeluarkan pada 11 malam ini (Jumaat).
Berdasarkan Forex Factory, bacaan untuk bulan September dijangka naik 0.2%, sama seperti sebelumnya selepas kelewatan laporan ekoran penutupan kerajaan yang berpanjangan.
PCE Teras menjadi perhatian utama kerana ia menggambarkan tekanan harga sebenar yang ditanggung rakyat Amerika Syarikat.
Kenaikan 0.2% menunjukkan inflasi masih bergerak perlahan, sekali gus memberi sedikit ruang kepada pengguna apabila kos barangan dan perkhidmatan tidak melonjak secara ketara. Namun begitu, ia masih belum cukup untuk membawa inflasi kembali kepada sasaran 2% yang disasarkan Fed sejak sekian lama.
Dalam pasaran, jangkaan terhadap dasar monetari kekal condong ke arah pelonggaran.
Data LSEG menunjukkan pedagang menilai hampir 86% kebarangkalian pemotongan kadar pada mesyuarat FOMC yang akan datang, dengan unjuran 2 hingga 3 lagi penurunan kadar pada tahun 2026.
Tinjauan Reuters turut menunjukkan majoriti ahli ekonomi menjangkakan Fed memulakan pemotongan kadar pada mesyuarat Disember, menambah tekanan ke atas dolar AS yang lazimnya lemah dalam persekitaran kadar faedah rendah.
Menjelang mesyuarat FOMC minggu hadapan, keyakinan pasaran terhadap pemotongan turut meningkat.
Menurut CME FedWatch, kebarangkalian pemotongan 25 mata asas kini menghampiri 90%, mencerminkan sentimen bahawa Fed semakin hampir mengekalkan rentak ‘dovish’ sejak beberapa kali pertemuan tahun ini.


























































