Ringgit menambah nilai berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada pembukaan hari ini, disokong sentimen positif menjelang pembentangan belanjawan negara Jumaat ini.
Pada jam 10.20 pagi, ringgit berada pada paras 4.2200 iaitu stabil berbanding dolar AS sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasangan mata wang USD/MYR dijangka didagangkan dalam julat yang sempit, memandangkan pengumuman belanjawan yang akan datang berkemungkinan menawarkan lebih jelas mengenai prospek ekonomi Malaysia.
Katanya, USD-MYR dijangka diniagakan antara RM4.21 dan RM4.22 hari ini.
Pada pembukaan, ringgit lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9030/9246 daripada 4.9135/9170, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.7663/7786 daripada 2.7938/7960, dan menambah nilai berbanding pound British kepada 5.6465/6713 daripada 5.6620/6661.
Berbanding mata wang ASEAN, mata wang tempatan juga didagangkan lebih tinggi.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9473/13.0115 daripada 12.9532/9688, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2520/2669 daripada 3.2587/2613, naik berbanding peso Filipina kepada 7.24/7.27 daripada 7.25/7.26 dan kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 254.0/255.2 daripada 254.3/254.6 – Bernama