Syarikat tenaga Israel, NewMed Energy, mengumumkan perjanjian bernilai $35 bilion bagi membekalkan gas asli ke Mesir sehingga 31 Disember 2040 atau sehingga keseluruhan kuantiti kontrak dibekalkan.
Melalui perjanjian baharu ini, jumlah keseluruhan bekalan gas ke negara itu meningkat kepada 130 bilion meter padu, berbanding perjanjian pada 2019 yang hanya melibatkan 60 bilion meter padu pada kadar 4.5 bilion meter padu setahun.
NewMed memegang hak penerokaan lebih 45% di medan gas Leviathan, iaitu medan gas terbesar Israel yang mula beroperasi pada 2019.
Selain memenuhi keperluan tenaga domestik, pengeluaran daripada medan tersebut turut dieksport ke Mesir dan Jordan, menjadikan Israel sebagai antara pembekal tenaga penting di rantau berkenaan.
Perkembangan ini berlaku ketika Mesir dilaporkan menerima dua lori bahan api diesel seberat 107 tan untuk dibawa masuk ke Gaza setelah lama Israel memperketatkan kemasukan bantuan pada Mac lalu.
Kekurangan bahan api di Gaza telah menjejaskan operasi hospital, memaksa doktor memberi tumpuan hanya kepada pesakit kritikal.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, enam lagi kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban akibat punca tersebut mencecah 175 orang sejak perang bermula, termasuk 93 kanak-kanak.