Pihak berkuasa Taiwan melancarkan operasi besar-besaran terhadap 16 syarikat dibiayai China yang disyaki mencuri rahsia industri cip negara itu menerusi aktiviti ‘pancing’ tenaga mahir secara haram.
Biro Siasatan Kementerian Kehakiman memaklumkan lebih 100 pegawai bertanggungjawab untuk menggeledah 70 lokasi di seluruh pulau itu dan menyoal siasat 120 individu antara 15 Julai hingga 6 Ogos lalu.
Antara yang disiasat termasuk pembekal utama Apple, Goertek, dan syarikat tersenarai di AS, VNET Group.
Pendakwa Raya Daerah Hsinchu mendedahkan, syarikat terbabit menggunakan pelbagai kaedah penyusupan yang sangat berbahaya bagi mendapatkan teknologi kritikal.
Maklumat risikan menunjukkan usaha ini didalangi syarikat berpangkalan di tanah besar China yang mahu mempercepat pembangunan cip canggih untuk kecerdasan buatan (AI).
Taiwan merupakan pengeluar lebih separuh cip dunia dan hampir semua cip berteknologi tinggi, menjadikannya sasaran utama perebutan teknologi global.
Awal tahun ini, kerajaan Taiwan meletakkan Huawei dan pembuat cip terbesar China, SMIC, dalam senarai hitam eksport. Langkah itu memerlukan syarikat tempatan mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum menghantar produk berteknologi tinggi kepada mana-mana entiti dari senarai tersebut.
Pihak berkuasa berkata siasatan masih berjalan dan kes ini hanya sebahagian daripada kira-kira 25 hingga 30 kes serupa yang dibuka setiap tahun.