Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah membatalkan pertemuan dengan utusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi membincangkan pelan damai dengan Rusia.
Tindakan Zelensky itu memberikan tamparan hebat kepada rancangan perdamaian Trump.
Utusan AS, Steve Witkoff bersama menantu Trump, Jared Kushner menamatkan rundingan selama lima jam di Moscow semalam tanpa sebarang kemajuan.
Mereka dijadualkan berlepas ke Brussels semalam untuk bertemu Zelensky, namun sebaliknya kembali pulang ke Washington.
Kedua-dua pihak tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai pembatalan pertemuan berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan tersebut menandakan kegagalan mencapai sebarang kemajuan dalam usaha menamatkan perang antara Rusia dan Ukraine.
Keputusan ini dijangka mengejutkan sekutu Kyiv yang menjangkakan rundingan itu akan membawa kepada perjanjian gencatan senjata.
Pembatalan pertemuan itu dilihat sebagai isyarat bahawa Ukraine enggan menerima sebarang rundingan yang dianggap memihak kepada Rusia.
Dalam pada itu, Presiden Russia, Vladimir Putin semalam memberi amaran kepada Eropah bahawa Moscow bersedia untuk berperang dengan benua itu.
























































