XRP kini menunjukkan tanda-tanda pengukuhan apabila bekalan di bursa semakin berkurang dalam masa yang sama permintaan daripada institusi terus meningkat melalui aliran masuk dana ETF.
Ketika artikel ini ditulis, harga XRP berada di paras $1.3571 iaitu positif 0.62% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Perkembangan ini mencetuskan persoalan sama ada XRP mampu menembusi paras rintangan penting pada $1.50 dalam tempoh terdekat.
Data pasaran menunjukkan simpanan XRP di Binance susut kepada sekitar 2.70 bilion XRP, iaitu antara paras terendah dalam tempoh hampir tiga bulan.
Sebelum ini, antara Julai hingga Oktober 2025, simpanan XRP di bursa berada lebih hampir kepada 3 bilion XRP ketika harga didagangkan melebihi $3.0.
Penurunan jumlah simpanan di bursa lazimnya mencerminkan pelabur memindahkan pegangan mereka ke dompet persendirian untuk simpanan jangka panjang, sekali gus mengurangkan tekanan jualan segera di pasaran.
Dalam masa sama, permintaan terhadap XRP turut menerima sokongan kukuh daripada aliran masuk ETF.
Dana ETF XRP mencatatkan kemasukan berterusan selama enam hari tanpa sebarang aliran keluar, dengan jumlah kumulatif inflow mencecah sekitar $1.41 bilion.
Nilai aset yang dipegang ETF pula kekal melebihi $1.13 bilion, menunjukkan minat institusi terhadap XRP masih stabil walaupun pasaran kripto bergerak perlahan.
Situasi ini membantu mengukuhkan permintaan spot apabila pembeli semakin agresif menyerap bekalan yang tersedia di pasaran.
Dengan jumlah XRP di bursa semakin berkurang, tekanan terhadap supply juga semakin meningkat dan boleh membuka ruang kepada kenaikan harga sekiranya momentum belian terus bertambah.
Walau bagaimanapun, XRP masih berdepan cabaran besar untuk menembusi zon rintangan sekitar $1.50 hingga $1.52.
Walaupun supply semakin ketat, harga masih gagal mengekalkan momentum di atas paras tersebut kerana wujud tekanan jualan daripada pemegang besar di kawasan rintangan itu.
Jika aliran masuk ETF terus meningkat dan pembeli berjaya menyerap tekanan jualan dengan lebih agresif, XRP berpotensi mencipta breakout baharu.
Namun tanpa volume belian yang kukuh, pengurangan supply sahaja mungkin masih belum cukup untuk membawa XRP melonjak lebih tinggi dalam masa terdekat.























































