Ekonomi United Kingdom (U.K.) menunjukkan isyarat pemulihan yang berterusan dengan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.4% pada suku kedua, menyusuli pengembangan 0.6% pada suku pertama. Peningkatan perbelanjaan pengguna yang didorong oleh cuaca panas, kehangatan Piala Dunia FIFA, dan kenaikan 1.7% dalam pelaburan perniagaan membantu mengekalkan U.K. sebagai ekonomi berprestasi paling kukuh dalam kalangan negara G7.
Pertumbuhan berterusan pada separuh pertama tahun ini membawa kadar pertumbuhan tahunan ke paras 2%, menurut analisis Deutsche Bank. Walaupun begitu, penganalisis memberikan amaran bahawa trend penurunan berkemungkinan berlaku pada separuh kedua tahun ini berikutan tekanan harga bahan api yang semakin tinggi dan membebankan pendapatan isi rumah.
Di sebalik angka pertumbuhan yang positif, Perdana Menteri baharu Andy Burnham berhadapan dengan prospek ekonomi yang berisiko berikutan kesan sampingan krisis Timur Tengah. Amaran daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan U.K. merupakan antara negara maju yang paling terkesan akibat lonjakan harga tenaga global dan ketidaktentuan konflik U.S.-Israel dan Iran.
Kebergantungan tinggi U.K. terhadap import minyak dan gas mendedahkan ekonominya kepada risiko guncangan inflasi yang lebih teruk berbanding negara rakan G7. Unjuran pemodelan terburuk daripada pihak Treasury memberi isyarat bahawa pertumbuhan ekonomi U.K. boleh merosot mendadak kepada hanya 0.3% pada tahun hadapan sekiranya sekatan di Selat Hormuz berterusan.
Meskipun pemacu pertumbuhan telah beralih ke arah sektor swasta dan industri perkhidmatan tempatan, pemulihan ini disifatkan tidak seimbang. Sektor utama lain seperti pembinaan dan pengeluaran industri masih mencatatkan penurunan, sekali gus menuntut pelaksanaaan ‘model ekonomi baharu’ yang diperkenalkan oleh pentadbiran Burnham.




















































