Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bitcoin kekal tenang sekitar paras $88,000 ketika pasaran global berdepan ancaman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $88,371 iaitu naik 0.01% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Walaupun langkah itu meningkatkan ketegangan perdagangan, pasaran kripto dilihat tidak bertindak balas secara agresif.
Trump mengumumkan kenaikan tarif sehingga 25% ke atas import dari Korea Selatan, termasuk sektor automotif dan farmaseutikal.
Namun, pelabur global dilihat lebih fokus kepada keputusan kadar faedah Federal Reserve (Fed) serta musim laporan kewangan syarikat teknologi utama Amerika Syarikat seperti Microsoft, Apple dan Tesla
Dalam pasaran kripto, tekanan datang daripada aliran keluar dana ETF Bitcoin spot di AS, yang mencatatkan pengeluaran mingguan terbesar sejak Februari 2025.
Keadaan ini menandakan minat institusi semakin perlahan, sekali gus mengehadkan momentum kenaikan harga Bitcoin.
Penganalisis menjangkakan Bitcoin akan terus bergerak secara sideways, dengan julat dagangan antara $85,000 hingga $94,500, selagi tiada pemangkin baharu yang mampu menarik semula minat pembeli besar.
Sementara itu, pelabur dilihat lebih cenderung kepada aset selamat seperti emas dan perak, mencerminkan sentimen pasaran yang masih berhati-hati.

























































