Harga Bitcoin kini bergerak dalam julat yang sangat sempit antara $59,000 hingga $60,000 selama lima hari berturut-turut.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $58,450 iaitu menyusut 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Walaupun keadaan ini kelihatan tenang, beberapa penganalisis memberi amaran bahawa ia sebenarnya boleh menjadi petanda kepada pergerakan harga yang lebih besar, khususnya ke arah penurunan.
Menurut penganalisis pasaran FxPro, Alex Kuptsikevich, corak pergerakan harga yang sempit seperti ini pernah berlaku pada 2024 apabila Bitcoin bergerak antara $55,000 hingga $70,000 sebelum meneruskan kenaikan.
Namun, situasi kali ini berbeza kerana Bitcoin kini berada di bawah paras sokongan penting serta di bawah purata pergerakan 50 hari dan 200 hari, yang lazimnya dianggap sebagai petunjuk bahawa pasaran masih berada dalam aliran menurun.
Beliau menjelaskan bahawa keadaan ini lebih berbahaya kepada pelabur yang menjangkakan kenaikan harga.
Sekiranya Bitcoin gagal mempertahankan julat semasa dan harga menembusi ke bawah, sasaran penurunan seterusnya berpotensi menghampiri $40,000.
Data rantaian blok (on-chain) daripada CryptoQuant turut menunjukkan isyarat yang membimbangkan.
Beberapa pemegang Bitcoin jangka panjang mula menjual pegangan mereka walaupun mengalami kerugian.
Dalam kitaran pasaran sebelum ini, keadaan seperti ini sering menandakan fasa ‘kapitulasi’, iaitu ketika pelabur mula menyerah kalah sebelum pasaran akhirnya menemui dasar baharu.
Pada masa sama, permintaan terhadap Bitcoin juga masih lemah.
Jumlah alamat aktif dan transaksi rangkaian kekal rendah, menunjukkan minat pelabur untuk membeli Bitcoin belum kembali pulih.
Sentimen pasaran turut terjejas oleh perkembangan melibatkan Strategy, syarikat pemegang Bitcoin korporat terbesar dunia.
Saham syarikat itu mengalami kejatuhan ketara selepas mengumumkan kemungkinan menjual lebih $1 bilion Bitcoin bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Langkah tersebut dilihat bercanggah dengan pendirian pengasasnya, Michael Saylor, yang sebelum ini terkenal dengan slogan ‘tidak akan menjual Bitcoin’.
Selain itu, faktor makroekonomi terus memberi tekanan kepada pasaran kripto.
Pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat menyebabkan pelabur lebih cenderung beralih kepada aset yang dianggap lebih selamat, manakala sebahagian besar modal pelaburan kini mengalir ke pasaran saham yang didorong oleh ledakan kecerdasan buatan (AI).























































