Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bitcoin meneruskan prestasi lemah apabila harganya jatuh ke bawah paras $63,000, mencatat paras terendah dalam beberapa minggu dan secara tidak langsung menandakan tekanan jualan yang semakin meningkat dalam pasaran kripto. Kejatuhan ini menunjukkan bahawa sentimen pelabur kekal rapuh, terutamanya selepas beberapa cubaan pemulihan sebelum ini gagal mengekalkan momentum kenaikan di atas paras psikologi utama.
Pada awalnya, BTC dilihat stabil walaupun terdapat perkembangan besar berkaitan tarif AS, termasuk keputusan Mahkamah Agung dan tindakan susulan Presiden Donald Trump yang mengumumkan cukai global baharu. Waima begitu, keadaan berubah secara mendadak apabila pasaran niaga hadapan tradisional dibuka lewat Ahad, mencetuskan gelombang jualan pantas yang menyebabkan harga merosot lebih $3,000 dalam tempoh sekitar sejam sahaja, sekali gus mengakibatkan pencairan posisi bernilai jutaan dolar.
Walaupun berlaku lantunan sementara, tekanan jualan kembali menguasai pasaran, menunjukkan bahawa pembeli masih belum mempunyai kekuatan mencukupi untuk mengawal semula arah aliran. Altcoin turut mengalami kejatuhan menyeluruh, mencerminkan bahawa tekanan bukan hanya tertumpu kepada Bitcoin tetapi melibatkan keseluruhan pasaran.
Selain itu, dominasi pasaran Bitcoin turut menurun di bawah 56%, menunjukkan bahawa kejatuhan ini memberi kesan luas kepada altcoin dan bukannya hanya pengukuhan relatif BTC. Data pasaran menunjukkan pencairan besar-besaran dan dagangan berleveraj terus menambah tekanan, sekali gus meningkatkan volatiliti dalam tempoh singkat.
Secara keseluruhan, pasaran kripto telah kehilangan lebih $150 bilion dalam nilai sejak Ahad, jumlah permodalan turun kepada sekitar $2.26 trilion. Perkembangan ini mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur, dengan paras $60,000 kini kembali menjadi tumpuan sebagai sokongan utama yang mungkin menentukan sama ada pasaran akan stabil atau menghadapi satu lagi gelombang penurunan dalam tempoh terdekat.























































