Pasaran mata wang kripto global berhadapan dengan fasa jualan panik selepas kontrak niaga hadapan Bitcoin secara rasmi menembus ke bawah had sokongan kritikal $60,000 dah mencecah paras terendah $58,995 pada sesi dagangan hari Khamis. Kejatuhan drastik ini menandakan pembetulan teknikal paling parah sejak Oktober 2024, sekali gus memadamkan lebih daripada 52 peratus nilai permodalan pasaran daripada paras kemuncak yang dicatatkan pada tahun lepas.
Kejatuhan ini mencetuskan amaran lampu merah di pasaran derivatif Wall Street, di mana para pedagang opsyen mula menjangkakan secara agresif bahawa pembetulan harga ini hanyalah permulaan kepada keruntuhan berskala besar. Data rasmi daripada Cboe LiveVol menunjukkan dana iShares Bitcoin Trust ETF (IBIT) BlackRock menyaksikan volume opsyen melonjak hampir dua kali ganda kepada 1.1 juta kontrak, diterajui oleh penguasaan mutlak kontrak perlindungan susut nilai.
Laporan daripada ThinkOrSwim mengesahkan pelabur institusi telah memborong 275,000 kontrak puts berbanding hanya 129,000 kontrak calls. SpotGamma mendedahkan panik pelabur kolar putih ini diterjemahkan melalui suntikan modal premium bernilai $144 juta khusus untuk opsyen bearish daripada jumlah keseluruhan taruhan $187 juta. Kontrak sasaran strike 32.5 menjadi pilihan utama pasaran, membuktikan dana gergasi sedang bersiap sedia menghadapi kejatuhan tambahan sebanyak 4.5% dalam tempoh 24 jam.
Sentimen negatif ini turut merebak ke dalam struktur ekuiti MicroStrategy (MSTR) milik Michael Saylor yang merekodkan volume dagangan opsyen mencecah 505,000 puts dan 403,000 calls. Sikap agresif para pedagang dan bereaksi dengan jualan pendek mencerminkan ketakutan pasaran yang semakin memuncak terhadap kestabilan model perbendaharaan korporat Saylor pasca-kejatuhan Bitcoin ke bawah paras sokongan tahunan.
Alexander Blume, CEO firma pengurusan aset institusi Two Prime, menilai prestasi Bitcoin berpunca daripada peralihan kecairan modal berskala besar di mana dana antarabangsa lebih tertarik untuk mengejar lonjakan keuntungan luar biasa sektor teknologi kecerdasan buatan (AI). Beliau memberi amaran bahawa kerapuhan struktur kewangan MicroStrategy yang mula goyah bertindak sebagai faktor psikologi utama yang menakut-nakutkan pasaran runcit.






















































