Pentadbiran Presiden Donald Trump secara rasmi menguatkuasakan skim tarif baharu bermula 12:01 pagi ET hari Jumaat menyasarkan 60 rakan dagang utama Amerika Syarikat. Langkah ini menggantikan “tarif global” 10% terdahulu yang telah tamat tempoh, dengan mengenakan kadar baharu antara 10% hingga 12.5% di bawah akta Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974.
Mengikut notis rasmi Daftar Persekutuan, negara seperti China, Australia, dan Mesir dikenakan kadar tarif tertinggi pada 12.5%. Manakala blok ekonomi utama lain termasuk Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, dan Mexico dikenakan kadar 10%. Pelaksanaan ini dilaporkan merangkumi sekitar 99.4% daripada keseluruhan nilai import masuk ke Amerika Syarikat.
Garis panduan baharu ini memperuntukkan pengecualian khusus bagi mengelakkan gangguan ekonomi domestik, terutamanya untuk barangan mentah utama seperti minyak dan gas asli. Selain itu, barangan yang tertakluk di bawah perjanjian perdagangan USMCA atau cukai keselamatan negara sedia ada seperti keluli dan aluminium tidak akan dikenakan pertindihan tarif tambahan.
Wakil Perdagangan US Jamieson Greer menegaskan bahawa walaupun punca kuasa undang-undang yang digunakan telah berubah susulan pembatalan oleh Mahkamah Agung sebelum ini, strategi asas pentadbiran berhubung isu perdagangan kekal agresif. Tindakan terbaharu ini turut disokong oleh hasil siasatan berbulan-bulan pentadbiran US berhubung isu pelanggaran hak buruh paksa di peringkat antarabangsa.
Penganalisis ekonomi mengunjurkan bahawa kadar tarif efektif US akan meningkat kepada julat 12% hingga 13% berikutan pelaksanaan duti baharu ini. Pasaran kewangan turut menjagakan potensi kenaikan tarif lanjutan sebelum akhir tahun ini apabila pentadbiran Trump memuktamadkan siasatan berasingan berkaitan kapasiti struktur berlebihan pengeluaran perindustrian global.























































