Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
US CLARITY Act, rang undang-undang kripto paling dinanti di Amerika Syarikat, kini dilihat semakin hampir untuk diluluskan.
Senator pro-kripto dari Ohio, Bernie Moreno, menyatakan keyakinannya bahawa rang undang-undang itu boleh melepasi Kongres seawal April.
Dalam wawancara bersama CNBC di kediaman Donald Trump di Mar-a-Lago, Moreno menjelaskan bahawa hala tuju undang-undang tersebut semakin jelas selepas perbincangan melibatkan pemain industri kripto, sektor perbankan dan ahli Kongres.
Turut hadir dalam perbincangan itu ialah CEO Coinbase, Brian Armstrong, yang sebelum ini menarik balik sokongan terhadap draf awal CLARITY Act.
Antara isu utama ialah larangan terhadap stablecoin yang menawarkan faedah serta cadangan meletakkan US Securities and Exchange Commission (SEC) sebagai pengawal selia utama industri kripto.
Namun kini, Armstrong melihat ‘jalan penyelesaian’ yang boleh memberi kemenangan kepada industri kripto, bank dan pengguna Amerika.
Isu paling sensitif setakat ini adalah ganjaran faedah untuk stablecoin, yang dibimbangi boleh mengganggu sistem perbankan tradisional.
Moreno bagaimanapun menganggap isu itu tidak sepatutnya menjadi penghalang utama kelulusan undang-undang.
Keyakinan pasaran turut terserlah apabila platform ramalan kripto Polymarket menunjukkan kebarangkalian kelulusan CLARITY Act melonjak tinggi sebelum sedikit menyusut.
Jika diluluskan, CLARITY Act dijangka menjadi asas penting dalam membentuk rangka kerja peraturan kripto yang lebih jelas di Amerika Syarikat dan sekali gus menyokong aspirasi menjadikan negara itu sebagai hab kripto global.


























































