Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Filipina kini menjadi negara pertama di dunia yang mengisytiharkan darurat tenaga nasional sebagai tindak balas terhadap konflik geopolitik di Asia Barat.
Sejak 28 Februari lalu, harga diesel dan petrol meningkat lebih dua kali ganda berikutan pergantungan Filipina terhadap import minyak dari wilayah Teluk yang mencecah 98%.
Presiden Ferdinand Marcos Jr memaklumkan bahawa beliau telah menandatangani perintah eksekutif bagi melindungi keselamatan tenaga negara.
Beliau turut menyatakan bahawa langkah tersebut akan memberi ruang kepada pihak kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan kestabilan tenaga dan melindungi ekonomi.
Sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk menyelia pengagihan bahan api, makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain secara teratur.
Kerajaan juga telah diberi kuasa untuk membeli bahan api dan produk petroleum secara langsung bagi menampung kekurangan bekalan.
Bagaimanapun, Kilusang Mayo Uno (KMU), antara gabungan kesatuan sekerja utama negara, mengecam keras tindakan mengisytiharkan darurat tersebut yang dianggap sebagai bukti kegagalan kerajaan dalam menguruskan krisis minyak
Sebelum ini, KMU juga menuduh pentadbiran memperkecilkan isu terbabit dengan mendakwa keadaan masih terkawal.
Rantau Asia disifatkan sebagai kawasan paling terdedah kepada krisis sekatan Selat Hormuz memandangkan hampir 90% daripada semua minyak dan gas yang melalui laluan tersebut menuju ke benua ini.

























































