Harga minyak dunia turun semula selepas meningkat pada awal dagangan apabila AS dan Iran bersetuju untuk menghentikan serangan susulan ketegangan terbaru di Timur Tengah.
Langkah itu memberi harapan bahawa rundingan damai yang dijadualkan berlangsung minggu ini mampu meredakan konflik dan mengurangkan risiko gangguan terhadap bekalan tenaga global.
Minyak mentah Brent yang sebelum ini melonjak hampir 2% didagangkan sekitar AS$72 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) kekal di bawah AS$70 setong.
Menurut seorang pegawai AS, kedua-dua pihak bersetuju menghentikan tindakan ketenteraan buat sementara waktu, sekali gus membolehkan kapal-kapal kembali melalui Selat Hormuz dengan lebih selamat sementara rundingan damai diteruskan.
Sebelum konflik tercetus, hampir 20% bekalan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia dihantar melalui Selat Hormuz.
Oleh itu, sebarang perkembangan positif dalam rundingan dilihat mampu membuka semula laluan strategik tersebut sepenuhnya dan mengurangkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dunia.
Penganalisis turut berpandangan bahawa pasaran kini melihat ketegangan yang berlaku sebagai gangguan sementara dan bukannya ancaman jangka panjang terhadap bekalan minyak.
Walaupun begitu, risiko masih belum berakhir. Pada hujung minggu lalu, sebuah kapal tangki minyak gergasi dilaporkan diserang berhampiran Selat Hormuz selepas membawa kira-kira dua juta tong minyak dari Qatar.
Insiden itu menyebabkan penghantaran minyak dan gas melalui laluan berkenaan kembali perlahan, manakala ramai pemilik kapal masih berhati-hati untuk melalui kawasan tersebut.
Dalam perkembangan lain, sebuah helikopter kendalian Saudi Aramco terhempas di Ras Tanura, hab tenaga utama Arab Saudi, namun punca kejadian dan kesannya terhadap kemudahan tenaga masih belum diketahui.
Sementara itu, Rusia mengakui sedang berdepan masalah bekalan bahan api sehingga menyebabkan barisan panjang di stesen minyak, selain mempertimbangkan larangan penuh eksport diesel bagi menstabilkan bekalan dalam negara.























































