Seorang bekas juruterbang Air Canada berdepan pertuduhan jenayah selepas didakwa menerbangkan ratusan penerbangan komersial selama 17 tahun tanpa memiliki lesen yang diperlukan untuk berkhidmat sebagai kapten pesawat.
Pihak berkuasa Kanada mendakwa Geoffrey Wall, 59, dari Ontario, menggunakan dokumen kelayakan palsu sejak tahun 2009 bagi membolehkan beliau memegang jawatan kapten dalam syarikat penerbangan tersebut.
Beliau kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk penipuan, pemalsuan dokumen dan memiliki cap palsu.
Menurut Air Canada, juruterbang itu digantung tugas serta-merta selepas ketidakselarasan dalam dokumen lesennya dikesan semasa proses penilaian rutin tahun lalu.
Syarikat penerbangan berkenaan turut memaklumkan perkara itu secara sukarela kepada Transport Canada untuk tindakan lanjut.
Siasatan mendapati Wall mempunyai lesen juruterbang komersial yang sah, namun tidak memiliki Lesen Juruterbang Pengangkutan Syarikat (ATPL), iaitu kelayakan wajib bagi seseorang juruterbang untuk berkhidmat sebagai kapten mengikut peraturan penerbangan Kanada.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau didakwa menerbangkan pelbagai jenis pesawat Boeing dalam kira-kira 900 penerbangan domestik dan antarabangsa serta menerima pendapatan bernilai jutaan dolar walaupun tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Polis Wilayah Peel, Nick Milinovich, berkata siasatan jenayah dilancarkan selepas pihak berkuasa mengesahkan dokumen lesen yang digunakan adalah palsu.
Beliau menyifatkan situasi itu seolah-olah seorang doktor yang hanya mempunyai kelayakan asas tetapi menjalankan pembedahan pakar.
Air Canada bagaimanapun menegaskan keselamatan penumpang tidak pernah terjejas kerana semua juruterbang syarikat menjalani latihan dan penilaian kecekapan secara berkala setiap enam bulan.
Syarikat itu turut menjalankan audit dalaman terhadap semua juruterbang dan memaklumkan tiada pelanggaran lain ditemui.
Wall dijadualkan hadir ke mahkamah pada 29 Jun bagi menghadapi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.



























































