Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran mata wang kripto kembali bergejolak pada pagi Isnin selepas tempoh mendatar sepanjang hujung minggu. Bitcoin (BTC) mencatatkan penurunan mendadak ke paras terendah bulanan di bawah $65,000 sebelum melakukan lantunan pantas ke paras hampir $68,000, didorong oleh tindak balas pelabur terhadap perkembangan terbaru konflik AS-Iran.
Prestasi Bitcoin sepanjang minggu lalu banyak dipengaruhi oleh retorik politik, di mana harga melonjak ke paras $72,000 susulan dakwaan kemajuan rundingan oleh Presiden Trump. Waima begitu paras harga jatuh semula apabila Tehran menafikan perkara tersebut. Ketidaktentuan ini menyebabkan BTC gagal melepasi rintangan utama dan terpaksa mencari sokongan baru di paras yang lebih rendah.
Ethereum (ETH) muncul sebagai antara aset berprestasi tinggi dengan lonjakan 3%, melepasi paras psikologi $2,050. Walaupun sempat jatuh di bawah $1,950 awal pagi tadi, permintaan yang kuat terhadap altcoin terbesar ini menunjukkan minat pelabur yang masih tinggi walaupun dalam persekitaran makro yang berisiko.
Modal pasaran kripto keseluruhan telah pulih sebanyak $40 bilion dalam tempoh 24 jam terakhir yang kini mencecah nilai melebihi $2.4 trilion. Walaupun sebahagian besar aset utama berada dalam zon hijau, beberapa altcoin seperti Bitcoin Cash (BCH) masih bergelut untuk pulih sepenuhnya selepas mengalami kejatuhan mengejut atau “flash crash” semalam.
Dominasi Bitcoin dalam pasaran kekal kukuh pada tahap 56%, menunjukkan pelabur masih menjadikan BTC sebagai aset rujukan utama di tengah-tengah ketegangan geopolitik. Walau bagaimanapun, rintangan di paras $68,000 membuktikan bahawa pasaran masih berhati-hati terhadap risiko peningkatan konflik yang boleh menjejaskan aset berisiko.


























































